Friday, 11 April 2014

Atletico pasukan terkuat di Eropah ketika ini: Antic

Atletico pasukan terkuat di Eropah ketika ini: AnticRadomir Antic
Belgrade: Chelsea mungkin menghela nafas lega dapat mengelak pertembungan dengan Real Madrid dan Bayern Munich selepas undian separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah dibuat, semalam namun Atletico Madrid juga bukan lawan mudah.

Pada pengamatan bekas jurulatih Atletico, Radomir Antic - kelab Sepanyol itu yang membuat kejutan menyingkirkan Barcelona dalam suku akhir - tetap dianggap barisan berprospek tinggi untuk merangkul trofi itu buat kali pertama. 

Antic, yang dianggap sebagai wira di kalangan peminat Atletico susulan kejayaan membantu kelab itu merangkul Liga Sepanyol dan Piala Supercopa de Espana pada tahun 1996, percaya pasukan terkini di bawah kendalian Diego Simeone itu masih boleh dipertingkatkan lagi. 



Keyakinan memuncak

“Atletico adalah pasukan terkuat di Eropah buat masa ini dan keyakinan mereka berada di tahap tertinggi selepas mengetepikan cabaran Barcelona,” kata warganegara Serbia berusia 62 tahun itu kepada akhbar harian Belgrade Informer.

“Mereka melakukannya walaupun terpaksa beraksi tanpa dua tonggak utama iaitu Arda Turan dan Diego Costa yang terlepas perlawanan kedua dan kemaraan mereka di Sepanyol dan Eropah tidak lagi dilihat sebagai satu kejutan.

“Kelab itu akan mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara sambil menyedari pasukan lain juga akan gentar menemui mereka. 
Atletico kini berada di persada La Liga dengan 79 mata daripada 32 perlawanan, satu mata lebih daripada Barcelona yang akan mereka kunjungi pada hari terakhir musim ini dan dua mata di depan Real Madrid, sambil berbaki sembilan perlawanan. - Reuter

No comments:

Post a Comment